KUALA LUMPUR: Dua pengamal media yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Perak pagi tadi bakal menerima bantuan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sedang menguruskan penyaluran bantuan kepada wartawan agensi berita itu, Nur Afiradina Arshad dan wartawan New Straits Times (NST) , Zahratulhayat Md Arif.
"Saya baru dimaklumkan oleh Ketua Pengarang BERNAMA, saudara Arul Rajoo Durar Raj bahawa kedua-dua wartawan yang terlibat kemalangan di Menglembu, Jalan Ipoh–Lumut pagi tadi telah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.






