KUALA LUMPUR: Penerbit, Jaja Ishak tidak menyangka penyanyi Haqiem Rusli sudi menerima tawarannya untuk menyanyikan lagu runut bunyi (OST) drama terbaharu terbitan syarikat produksinya, Jaja Ishak Channel, menerusi lagu Katamu Sekejap.

Jaja berkata, dia bersyukur apabila tawaran itu disambut baik Haqiem, yang pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33.

Katanya, meskipun Jaja Ishak Channel lebih dikenali sebagai penerbit program televisyen dan drama, dia turut menghasilkan beberapa lagu sebelum ini, namun syarikatnya bukanlah label muzik berskala besar.

"Jadi, saya agak terkejut dan teruja apabila tawaran daripada syarikat saya disambut baik Haqiem. Ini menunjukkan dia percaya bahawa sesiapa pun boleh diajak bekerjasama, asalkan kita menawarkan sesuatu yang terbaik," katanya pada sidang media pelancaran lagu Katamu Sekejap di sini, baru-baru ini.