TOKYO: Atlet Jepun, Masatora Kawano mencatat rekod dunia acara jalan kaki maraton lelaki pada Kejohanan Jalan Kaki Seluruh Jepun di Wilayah Yamagata pada Ahad, menamatkan jarak 42.195 kilometer (km) itu dengan catatan masa 2 jam, 55 minit dan 14 saat, lapor Kyodo News.

Olahraga Dunia membenarkan acara jalan kaki maraton yang dipertandingkan mengikut jarak maraton tradisional sebagai pengganti bagi acara jalan kaki 35km pada kejohanan utama pada Disember 2024.

Badan induk olahraga dunia itu secara rasmi memperkenalkan acara baharu berkenaan pada Januari tahun ini dan menetapkan catatan 2:56:30 sebagai piawaian prestasi yang perlu diatasi bagi mengiktiraf rekod dunia pertama acara lelaki, dengan Kawano menjadi atlet pertama berjaya melepasi penanda aras itu.