GEORGE TOWN : Dua buah kenderaan tertimbus dalam satu lagi kejadian tanah runtuh hari ini iaitu berhampiran sebuah kondominium di Jalan Tanjung Tokong, Tanjung Bungah di sini, kira-kira pukul 6.50 petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kejadian yang melibatkan kereta jenis BMW dan Honda City itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa.

Katanya, pihaknya sebelum itu menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut dan telah mengerahkan sepasukan anggota bomba yang bertugas untuk ke lokasi kejadian.

“Ketika kejadian, kedua-dua kenderaan secara kebetulan diletakkan berhampiran dengan lokasi kejadian tanah runtuh di situ. Tiada mangsa terlibat setakat ini,” katanya di sini, hari ini.