Fenomena K-pop bukan lagi sesuatu yang asing dalam industri hiburan antarabangsa. Dengan pengaruh yang semakin meluas, muzik dari Korea Selatan itu bukan sahaja berjaya menawan hati jutaan peminat, malah turut mencetuskan pelbagai trend dan budaya tersendiri.
Namun, di sebalik persembahan bertenaga, penampilan memukau dan populariti luar biasa, industri K-pop sebenarnya menyimpan pelbagai keunikan yang mungkin tidak diketahui ramai. Berikut lima fakta menarik mengenai industri K-pop yang menjadi antara fenomena hiburan terbesar dunia:
Industri K-pop terkenal dengan sistem latihan yang menuntut disiplin tinggi. Sebelum membuat penampilan sulung, kebanyakan bakal idola perlu menjalani latihan vokal, tarian, lakonan, bahasa asing dan pengucapan awam. Setiap individu perlu menjalani tempoh latihan berbeza. Ada yang hanya menjalani latihan beberapa bulan, manakala sebahagiannya mengambil masa bertahun-tahun tanpa sebarang jaminan akan dipilih untuk membuat debut. Sebagai contoh, Jihyo daripada kumpulan TWICE menjalani latihan selama kira-kira 10 tahun di bawah JYP Entertainment sebelum memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada 2015.










