KUALA LUMPUR: Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berpotensi membuka lembaran baharu pembangunan ekonomi di Pantai Timur dengan memperkukuh hubungan antara pusat pengeluaran, kawasan perindustrian dan pasaran, sekali gus membuka peluang pelaburan bernilai berbilion ringgit sekiranya disokong ekosistem perniagaan yang bersedia.

Perkhidmatan rel itu bukan sekadar menyediakan alternatif pengangkutan, sebaliknya berupaya meningkatkan kecekapan pergerakan barangan, mengurangkan ketidakpastian penghantaran serta menjadikan kawasan perindustrian di Kelantan, Terengganu dan Pahang lebih menarik kepada pelabur.

Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata ECRL berpotensi merapatkan jurang ekonomi Pantai Timur dengan pasaran melalui peningkatan kecekapan kos penghantaran, masa perjalanan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan.