Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga China ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong hari ini selepas pemeriksaan kastam menemukan 2.2 kilogram (kg) bahan disyaki kokain dalam bagasi kabinnya.
Ini tangkapan kedua membabitkan kes penyeludupan dadah dari Pulau Pinang ke Hong Kong selepas seorang lelaki warga China berusia 25 tahun turut ditahan pada Khamis lalu.
Jabatan Kastam Hong Kong dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai HK$1.3 juta (kira-kira RM700,000) mengikut harga pasaran.
Menurut kenyataan itu, suspek berusia 39 tahun berkenaan tiba di Hong Kong dari Pulau Pinang, sebelum ditahan ketika pemeriksaan kastam dijalankan di lapangan terbang berkenaan.








