KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta kejutan apabila menjuarai Terbuka Perancis selepas menewaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada aksi final di Arena Grand Paris, hari ini.

Wei Chong-Kai Wun bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan beregu pilihan keenam kejohanan itu 13-21, 21-15, 21-7 dalam tempoh 44 minit.

Kemenangan itu cukup bermakna buat pasangan ranking ke-11 dunia berkenaan yang kembali menjulang gelaran selepas kali terakhir menjuarai Masters Malaysia pada Mei tahun lalu.

Pasangan profesional, Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking kelima dunia bermula garang apabila menguasai set pertama 21-13, namun Wei Chong-Kai Wun mempamerkan kebangkitan untuk mengikat kedudukan menerusi kemenangan 21-15 pada set kedua.