Kaherah: Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) memaklumkan pihak berkuasa telah menghantar lebih 280 trak membawa tepung dan bakul makanan bagi membantu mengurangkan masalah kekurangan roti yang teruk di Semenanjung Gaza setakat Ahad, lapor Xinhua.

Lebih 90 trak berlepas pada Ahad, susulan lebih 190 trak yang dihantar sepanjang minggu lepas. Bekalan berkenaan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Bantuan Mesir di Gaza untuk diagihkan kepada kedai-kedai roti yang terjejas operasinya, menurut ERC.

ERC menambah bahawa konvoi bantuan berlepas ke Gaza awal Ahad dengan membawa lebih 3,676 tan bekalan kemanusiaan, termasuk tepung, bakul makanan, barangan bantuan, ubat-ubatan dan bahan api untuk hospital, kedai roti serta kemudahan penting lain.