GAZA: Pejabat Media Kerajaan Gaza menafikan dakwaan mengenakan cukai atau bayaran terhadap lori komersial, sebaliknya menuduh Israel menyebarkan maklumat palsu bagi mewajarkan sekatan kemasukan barangan ke wilayah itu.
Dalam kenyataan pada Khamis, pejabat itu turut menggesa Israel dipaksa membenarkan kemasukan 600 lori ke Gaza setiap hari, lapor Anadolu.
Penafian itu susulan dakwaan penyelaras aktiviti kerajaan Israel di wilayah Palestin, Yoram Halevi, pada Rabu berhubung pengenaan caj terhadap peniaga serta langkah mengawal urus niaga tunai di Gaza.
Pejabat itu menuduh Israel melancarkan kempen maklumat palsu dan cuba menyalahkan pihak berkuasa Gaza atas kelewatan membenarkan lori memasuki wilayah berkenaan.









