Kuala Lumpur: Cadangan menaikkan umur minimum mendapatkan lesen motosikal kepada 18 tahun oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut mencetuskan pandangan orang ramai berkenaan kepentingan pendidikan keselamatan jalan raya dalam kalangan remaja.

Tinjauan Harian Metro di ibu kota mendapati orang ramai bersetuju pendidikan keselamatan jalan raya diperkukuh sejak usia muda bagi membentuk sikap bertanggungjawab dan memastikan remaja lebih bersedia sebelum mendapatkan lesen.

Seorang pekerja keselamatan siber, Nurul Afifah Mohd Zaini, 23, bersetuju dengan cadangan menaikkan umur minimum mendapatkan lesen motosikal kepada 18 tahun.

"Usia 18 tahun sesuai kerana mereka sudah boleh berfikir dengan lebih matang dan menilai baik buruk sesuatu tindakan," katanya.