Liverpool: Liverpool mencatat kemenangan pertama di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini menerusi persembahan mengagumkan menentang pasukan berprestasi tinggi, Brighton.

Dua gol dalam tempoh empat minit pada separuh masa pertama bermula dengan gol sendiri pemain tengah Seagulls, Pascal Gross disusuli jaringan keenam Alexander Isak musim ini meletakkan The Reds selesa mengawal perlawanan.

Mereka bagaimanapun berdepan risiko dibolosi sebelum gol-gol berkenaan terhasil namun percubaan pemain Brighton, Yasin Ayari, melambung tinggi melepasi palang susulan gerakan kemas pasukan pelawat.

Kegagalan Ayari menyempurnakan peluang itu memakan diri apabila Liverpool mendahului pada minit ke-17 apabila rembatan Florian Wirtz, yang pada asalnya tersasar terbias ke dalam gawang sendiri oleh Gross yang tidak bernasib baik.