Kuala Lumpur: Sebanyak 886 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA sejak ia diperkenalkan pada April 2023, dengan jumlah sumbangan terkumpul sebanyak RM2,612,790.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kebajikan dan keselamatan pengamal media sentiasa menjadi perhatian kementerian, sekali gus mendorong penubuhan tabung berkenaan bagi menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Jadi, sesiapa yang memerlukan bantuan daripada tabung ini, sila hubungi pejabat saya atau Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) kerana Bernama merupakan urus setia tabung ini.
"Kami di Bernama dan kementerian akan melakukan yang terbaik untuk membantu rakan-rakan media," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media Minnal FM di Menara Kuala Lumpur, di sini hari ini.









