Madu merupakan makanan sunah Rasulullah SAW yang mempunyai banyak kebaikan, manakala haiwan sinonimnya iaitu lebah juga diabadikan sebagai nama surah dalam al-Quran iaitu An-Nahl.

Madu merupakan makanan tambahan yang diamalkan oleh orang ramai kerana memiliki pelbagai khasiat untuk tubuh badan seperti menambah stamina, membantu mengurangkan gejala penyakit dan melancarkan penghadaman.

Proses penghasilan madu yang rumit boleh menyebabkan madu dijual pada harga yang mahal. Minggu ini CitaRasa kongsikan lima madu termahal di dunia sebagaimana dikongsikan portal-portal lain antaranya Prestigeonline.com.

Madu termahal di dunia ialah madu Centauri yang menjadi buruan ahli politik, kerabat diraja dan juga doktor dari seluruh dunia. Ia disahkan sebagai madu termahal oleh Guinness World Records pada 2021. Jika madu lain menjadi pilihan kerana rasanya yang enak, madu Centauri dari Turkiye ini pula diburu kerana manfaat kesihatannya yang dikatakan mampu mencegah kanser dan meningkatkan imuniti tubuh. Cecair berwarna keemasan ini tidak mudah ditemui memandangkan proses perahan madu ini hanya berlaku pada kedalaman antara 10 hingga 500 meter di bawah permukaan gua. Ia juga mempunyai pelbagai rasa seperti rasa bunga-bungaan, manis dan berkrim atau pahit seperti ubat.