KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disarankan tidak mengambil peranan mahkamah dan mempersoalkan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) malam Ahad.Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat itu penting bagi membolehkan semua parti komponen dimaklumkan mengenai pelbagai agenda yang ditetapkan termasuk persiapan menjelang PRN Melaka."Masalahnya, kalau tidak panggil mesyuarat, dikatakan tidak panggil. Bila sudah panggil, macam-macam alasan pula diberikan."Setiausaha Agung Bersatu tidak boleh mengambil alih tugas mahkamah. Kita menjunjung kedaulatan undang-undang dan selagi mahkamah tidak memutuskan sebaliknya, kita boleh menjalankan aktiviti menggunakan logo yang dibenarkan," katanya ketika ditemui di luar Pejabat Agung Pas di sini pada Ahad.Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempersoalkan keabsahan mesyuarat tergempar MT PN malam ini susulan Notis Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembatalan pendaftaran gabungan itu telah difailkan pada tarikh sama surat jemputan mesyuarat tersebut dikeluarkan.Annuar berkata, tindakan mengadakan mesyuarat itu tidak seharusnya dijadikan pertikaian kerana PN perlu segera menyelaraskan persiapan PRN Melaka, terutama selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membuat pengumuman calon masing-masing.Tambah beliau, tindakan itu akan membuka peluang kepada orang ramai mempersoalkan kesetiaan dan hasrat sebenar Bersatu terhadap PN."Orang akan bertanya apa hasrat Bersatu, adakah mereka masih setia dengan PN atau sebenarnya mahu melihat PN hancur."Dalam Perlembagaan, mana mana parti tidak berikan kesetiaan kepada parti adalah serius dan kita tahu banyak kali Bersatu melanggar displin termasuk bertanding menentang calon parti sendiri."Saya fikir enough is enough and move forward dan sama-sama ambil bahagian dalam PRN Melaka," katanya.Anuar berkata, Bersatu sewajarnya hadir ke mesyuarat malam ini untuk mendengar pandangan parti komponen lain dan membincangkan perbezaan pendapat secara bersama."Kalau Bersatu rasa mesyuarat malam ini tidak boleh diadakan, datanglah minum kopi dahulu, dengar semua pandangan dan kita duduk bersama-sama berbincang."Kalau semua bersependapat dengan Bersatu, kita boleh membuat keputusan dalam mesyuarat malam ini seperti biasa," katanya.