KUALA LUMPUR: BERSATU dinasihatkan supaya tidak mengambil alih peranan mahkamah dengan mempersoalkan keabsahan aktiviti dianjurkan Perikatan Nasional (PN), termasuk mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN, malam ini.

Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan BERSATU itu sebagai memalukan, selain mengakui ia akan membuka peluang kepada orang ramai mempersoalkan kesetiaan dan hasrat sebenar BERSATU terhadap PN.

"Kalau tak panggil, kata (PN) tak panggil (BERSATU sertai mesyuarat). Bila dipanggil, macam-macam pula alasan. Setiausaha Agung BERSATU (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tidak boleh ambil alih tugas mahkamah, BERSATU bukannya mahkamah.

"Kita menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan mahkamah sudah buat ketetapan, PN dibenarkan bertanding (PRN Melaka) guna logo (PN) dan buat aktiviti sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya," katanya pada sidang media, di sini malam ini.