LUMUT: Semua pihak dalam Barisan Nasional (BN) perlu mengutamakan usaha memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, berbanding berlarutan dalam perbezaan pandangan mengenai pembahagian kerusi.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata semua pihak perlu memberikan tumpuan kepada usaha memastikan kemenangan di 21 kerusi yang diperuntukkan kepada gabungan itu, selaras keputusan yang dipersetujui bersama.
"Kita sebenarnya percaya dalam semangat perbincangan. Biasalah kalau dalam suasana waktu untuk pemilihan calon dan sebagainya, mana-mana pihak pun ada pandangan tertentu.
"Apa pun keputusan yang dibuat, yang paling mustahak untuk diberikan tumpuan adalah kemenangan kepada 21 kerusi yang ditandingi oleh BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Excellence Pangkor di Kolej Komuniti Manjung, Pulau Pangkor dekat sini hari ini.









