Kuala Lumpur: Media sosial hari ini dibanjiri dengan video kemeriahan majlis Kenduri Rakyat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan isteri yang juga penyanyi serta pelakon, Bella Astillah.

Kehadiran luar biasa orang ramai untuk melihat sendiri majlis persandingan pasangan itu menyebabkan Yong Sheng Banquet Hall, di Jalan Bakri, Muar dan kawasan perkarangan luar dewan berkenaan begitu sesak.

Malah, pergerakan masuk Syed Saddiq dan Bella Astillah dalam dewan juga terganggu kerana keadaan menjadi tidak terkawal apabila orang ramai berhimpit-himpit untuk melihat pasangan itu lebih dekat dan bergambar bersama.

Orang ramai yang hadir bukan sahaja dari sekitar Muar, malah ada yang datang dari Singapura semata-mata untuk menyaksikan pasangan itu yang perkahwinan mereka antara paling mendapat perhatian tahun ini.