KUALA LUMPUR: Lebih 30 peratus daripada penduduk bekerja di kawasan luar bandar Kedah dan Kelantan adalah pekerja bekerja sendiri, antara kadar tertinggi direkodkan di Malaysia pada 2024.
Menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), keadaan itu memperlihatkan perbezaan ketara dalam struktur pekerjaan antara kawasan bandar dan luar bandar, khususnya dari segi peluang memperoleh pekerjaan bergaji.
Laporan From Income to Wellbeing: The State of Households 2026 menunjukkan kadar pekerja bekerja sendiri tanpa menggaji pekerja di Kuala Lumpur dan Putrajaya jauh lebih rendah, masing-masing pada 6.2 peratus dan 5.4 peratus.
Jelasnya, pekerja dalam kategori itu atau own-account workers merangkumi pelbagai bentuk pekerjaan sendiri, termasuk pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta penyedia perkhidmatan ekonomi gig.









