Kuala Lumpur: Impian beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk memburu kejuaraan Jelajah Dunia berturut-turut buat kali pertama tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto pada final Terbuka Perancis, hari ini.

Gandingan nombor empat dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan 21-10, 17-21, 16-21 kepada pasangan di ranking nombor tiga dunia berkenaan dalam aksi sengit yang berlangsung selama 64 minit di Arena Grand Paris.

Pearly-Thinaah bermula garang apabila mudah menguasai set pertama 21-10, namun Fukushima-Matsumoto bangkit mengubah rentak permainan untuk mengikat kedudukan selepas memenangi set kedua 21-17.

Aksi sengit terus berlangsung pada set penentuan sebelum pasangan Jepun itu memanfaatkan peluang yang ada untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-16.