KUALA LUMPUR: Pelanggan MBSB Bank kini boleh memindahkan wang ke luar negara sehingga RM150,000 sehari merentasi 20 mata wang utama dunia menerusi kerjasama strategik bank itu dengan penyedia teknologi kewangan global, Wise.
Kemudahan menerusi Global Easy Transfer (GET) itu turut menawarkan penyelesaian transaksi lebih pantas apabila 90 peratus pemindahan wang yang dilakukan melalui platform berkenaan berjaya disempurnakan dalam tempoh kurang daripada satu minit.
GET dibangunkan menerusi kerjasama dengan Wise Platform, iaitu infrastruktur pembayaran global milik Wise untuk bank dan platform digital.
Ia disifatkan sebagai satu-satunya penyelesaian pemindahan wang antarabangsa berasaskan perbankan di Malaysia yang dikuasakan oleh Wise, sekali gus menggabungkan teknologi pembayaran global dengan keupayaan perbankan tempatan.








