SHAH ALAM - Data peribadi, maklumat perbankan dan simpanan pelanggan Bank Rakyat kekal selamat meskipun berlaku gangguan akses terhadap laman web korporat bank berkenaan.Bank Rakyat dalam satu kenyataan memaklumkan, gangguan yang berlaku hanya melibatkan laman web korporat dan berpunca daripada isu teknikal pada sistem penyedia perkhidmatan pihak ketiga.Menurutnya, sistem dan operasi perbankan Bank Rakyat dijamin kekal beroperasi seperti biasa, manakala data peribadi, maklumat perbankan serta simpanan pelanggan tidak terjejas."Pelanggan masih boleh menjalankan urusan perbankan seperti biasa menerusi lima saluran alternatif menerusi laman web iRakyat, aplikasi mudah alih iRakyat, BRICK, QR2E dan i-bizRAKYAT sementara kerja-kerja pemulihan akses laman web korporat sedang dilaksanakan."Kami memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran anda, sebarang perkembangan lanjut berhubung perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya pada Sabtu.Sebelum ini media melaporkan, laman web korporat Bank Rakyat tidak dapat diakses buat sementara waktu.Susulan itu, bank berkenaan menerusi pemakluman kepada pelanggan menasihatkan pengguna supaya menggunakan saluran alternatif yang disediakan bagi mendapatkan perkhidmatan perbankan digital sepanjang tempoh tersebut.