Kuala Lumpur: Gangguan akses laman web korporat Bank Rakyat berpunca daripada isu teknikal pada sistem penyedia perkhidmatan pihak ketiga, namun sistem dan operasi perbankan bank itu terus beroperasi seperti biasa.

Bank Rakyat dalam kenyataan media hari ini memaklumkan gangguan berkenaan hanya menjejaskan laman web korporatnya, manakala data peribadi, maklumat perbankan serta simpanan pelanggan kekal selamat dan tidak terjejas.

"Bank Rakyat menegaskan bahawa gangguan akses yang sedang berlaku hanya menjejaskan laman web korporat Bank berkenaan dan berpunca daripada isu teknikal pada sistem penyedia perkhidmatan pihak ketiga.

"Justeru, kami memberi jaminan bahawa sistem serta operasi perbankan Bank Rakyat terus beroperasi seperti biasa, manakala data peribadi, maklumat perbankan serta simpanan pelanggan kekal selamat dan tidak terjejas," katanya.