KUALA LUMPUR: Gangguan akses laman web korporat Bank Rakyat hanya membabitkan laman berkenaan dan berpunca daripada isu teknikal pada sistem penyedia perkhidmatan pihak ketiga.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Rakyat memaklumkan sistem serta operasi perbankannya masih berfungsi seperti biasa, manakala data peribadi, maklumat perbankan dan simpanan pelanggan kekal selamat serta tidak terjejas.

Menurut kenyataan itu, pelanggan masih boleh menjalankan urusan perbankan seperti biasa menerusi saluran alternatif sepanjang proses pemulihan akses laman web korporat dilaksanakan.

"Pelanggan boleh terus menjalankan urusan perbankan seperti biasa menerusi saluran alternatif seperti laman web iRakyat, aplikasi mudah alih iRakyat, BRICK, QR2E dan i-bizRAKYAT," katanya.