Temerloh: Sebanyak 12 keluarga di Jalan TJ 6, Taman Temerloh Jaya, di sini, bimbang keselamatan kediaman mereka berikutan keadaan tanah di bahagian belakang rumah semakin mendap berikutan ketibaan musim tengkujuh.

Keadaan itu bukan sahaja menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan rumah, malah dikhuatiri bertambah serius sekiranya hujan lebat berterusan susulan Monsun Timur Laut.

Wakil penduduk, Kapten (B) Ahmad Satar Ishak, 65, mendakwa masalah berkenaan mula dikesan sejak 2021, sebelum rumah diduduki penghuni.

Beliau juga mendakwa keadaan semakin membimbangkan pada 2025 apabila jalan di bahagian belakang kediaman mula mengalami keretakan serius sebelum membentuk lubang semakin besar.