GEORGE TOWN – Empat rumah di Taman Sri Rambai, Paya Terubong di sini masih perlu dikosongkan sehingga mendapat kebenaran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) susulan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan seorang doktor lelaki berusia 73 tahun pada 25 Oktober lalu.Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, tempoh penduduk terbabit perlu meninggalkan kediaman masing-masing belum dapat dipastikan kerana ia bergantung kepada hasil siasatan serta penilaian keselamatan oleh JKKP.Menurutnya, notis pengosongan sudah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan penduduk tidak boleh kembali ke rumah masing-masing tanpa kebenaran pihak berkuasa berkenaan."Pada masa ini, empat rumah perlu dikosongkan dan notis berkaitan sudah dikeluarkan."Kita tidak boleh menetapkan bila penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing tanpa mendapat kebenaran JKKP memandangkan siasatan masih dijalankan jabatan berkenaan," katanya pada sidang media berhubung perkembangan terkini insiden tanah runtuh itu di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Jumaat.Turut hadir, Pengarah Kejuruteraan MBPP, Cheah Chin Kooi dan Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran.Sebelum ini, dalam kejadian kira-kira jam 8.36 pagi Ahad, seorang doktor, Wong Kar Lin, 73 maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang turut menjejaskan kediamannya.Isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 68 dan ibu mentuanya, Wong Poh Lim, 80-an bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan pada 2 November ini, jam 2.30 petang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi membincangkan perkembangan siasatan, status pelaksanaan kerja mitigasi serta tindakan susulan yang perlu diambil.Katanya, mesyuarat yang akan dipengerusikannya itu turut melibatkan JKKP, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut, MBPP, polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)."JKKP sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian pada 29 Oktober lalu bagi mengenal pasti punca sebenar runtuhan cerun berkenaan."Jabatan itu juga dijangka memanggil semua pihak yang terlibat untuk mendapatkan gambaran tepat mengenai kejadian sebelum tindakan lanjut diambil sekiranya terdapat unsur kecuaian atau kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang," katanya.Sementara itu, Mooi Lye berkata, MBPP sudah mengeluarkan notis pemberhentian kerja tanah di tapak projek berkenaan pada 25 Oktober lalu mengikut Seksyen 70A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).Katanya, pihak pemaju dan perunding turut diarahkan melaksanakan beberapa langkah keselamatan serta mitigasi segera bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang."Antara langkah ditetapkan ialah mengasingkan kawasan runtuhan dengan memasang penghadang keselamatan serta mengosongkan kawasan berisiko dalam tempoh 24 jam."Selain itu, pemaju diminta mengawal aliran air permukaan denga