Georgetown: "Saya datang sini cuma mahu beri makan anjing saya," kata penghuni satu daripada enam rumah yang terpaksa berpindah berikutan kediaman mereka yang hampir dengan lokasi runtuhan di Lebuh Rambai 13, Taman Seri Rambai, di sini.
Penduduk yang enggan dikenali itu datang bersama ibunya dengan menaiki motosikal kira-kira jam 8.30 pagi dan hanya berdiri di hadapan pagar bagi memberi anjing peliharaannya makan.
"Semalam kami sekeluarga menginap di hotel berhampiran dan tidak bawa banyak barangan. Kami syukur semua ahli keluarga selamat tetapi sekarang tidak tahu apa yang akan berlaku.
"Rumah ini sudah tentu tak ada yang mahu beli selepas kejadian ini," katanya yang kemudian bergegas keluar dari pekarangan rumahnya selepas diarahkan pihak berkuasa.









