Riyadh: Bekas juara dunia tinju dua kali tanpa tandingan kategori super middleweight, Saul 'Canelo' Alvarez, mengesahkan dirinya berada pada tahap terbaik menjelang pertarungan menentang juara dunia WBC, Christian M'billi, di Riyadh, Sabtu ini.

Petinju Mexico berusia 36 tahun itu tiba di Riyadh awal pagi Isnin dengan keyakinan tinggi untuk kembali merebut gelaran dunia selepas berehat panjang susulan kekalahan kepada Terence Crawford pada September 2025.

"Saya berasa hebat dan tidak sabar untuk kembali ke gelanggang. Saya rasa tubuh saya memerlukan rehat seperti ini dan sekarang terasa seperti sudah 10 tahun tidak bertinju," katanya kepada Reuters.

Pertarungan itu turut membawa makna besar buat Alvarez yang berpeluang kembali bergelar juara dunia sekiranya berjaya menewaskan M'billi, sekali gus membuktikan dirinya masih mampu bersaing di peringkat tertinggi.