Bukit Mertajam: Datuk Dr Akmal Saleh bersedia untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 14 November ini, sekiranya kes mahkamah dihadapinya di sini, menjadi liabiliti kepada peluang UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memenangi pilihan raya itu.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau sudah menyampaikan pendiriannya secara terbuka kepada presiden parti, sambil menegaskan peluang BN dan UMNO untuk menang serta keupayaannya berkhidmat kepada rakyat perlu diutamakan berbanding cita-cita peribadinya.
"Jika kes ini menjadi sesuatu yang boleh mencemarkan nama parti, saya sudah berterus terang kepada presiden bahawa saya sanggup tidak bertanding sekiranya saya dianggap sebagai beban kepada peluang parti untuk menang," katanya kepada pemberita di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini.








