KUALA LUMPUR: Acara anugerah hiburan pilihan peminat berprestij dan paling lama bertahan di Malaysia, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-38 dilancar di sini, hari ini dengan pendekatan baharu dalam usaha mendekati kelompok sasaran Gen-Z dan komuniti digital.

Mengangkat tema 'Kitalah Bintang', ABPBH yang dianjurkan secara konsisten oleh akhbar Berita Harian (BH) sejak 1987, terus teguh memainkan peranan sebagai penanda aras kemasyhuran, bakat dan kualiti penggiat seni dan komuniti kreatif tanah air.

Tema 'Kitalah Bintang' menterjemah falsafah bahawa sinar kejayaan sesebuah karya dan artis bertunjangkan sokongan padu peminat. ABPBH 38 meraikan kesepaduan antara penghibur, pencipta kandungan dan khalayak merentas generasi, sekaligus menegaskan bahawa setiap individu yang setia menyokong dan menggerakkan industri kreatif adalah 'bintang' sebenar.