MELAKA: "Menarik sebab banyak bantuan yang kita tak terfikir sebelum ini seperti bantuan haji dan perkahwinan," begitu kata seorang pengundi di Ayer Keroh ketika ditanya mengenai manifesto ditawarkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Ia jelas menunjukkan manifesto BN dan PN menyentuh keperluan orang ramai melalui rantaian bantuan untuk membina kehidupan lebih baik.

Manifesto BN dan PN juga disifatkan sebagai cerminan kehendak dan keperluan sebenar penduduk Melaka yang berdepan isu perbandaran dengan demografi pengundi yang bercampur.

Manifesto itu tidak bertumpu kepada projek gah seperti pelaburan bilion ringgit kerana manifesto BN dan PN dekat dengan rakyat dengan menyediakan apa yang mereka mahukan berdasarkan keperluan harian.