Kuala Lumpur: Acara anugerah hiburan berprestij dan paling lama di Malaysia, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-38 yang dilancarkan hari ini menampilkan pendekatan baharu dengan menyasarkan golongan Gen-Z dan komuniti digital.
Mengangkat tema Kitalah Bintang, ABPBH yang dianjurkan akhbar Berita Harian (BH) sejak 1987, terus teguh memainkan peranan sebagai penanda aras kemasyhuran, bakat dan kualiti penggiat seni dan komuniti kreatif tanah air.
Tema Kitalah Bintang menterjemah falsafah bahawa sinar kejayaan sesebuah karya dan artis bertunjangkan sokongan padu peminat.
ABPBH 38 meraikan kesepaduan antara penghibur, pencipta kandungan dan khalayak merentas generasi, sekali gus menegaskan bahawa setiap individu yang setia menyokong dan menggerakkan industri kreatif adalah 'bintang' sebenar.










