MELAKA: Jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu bersedia dengan menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang dalam masa terdekat.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, gabungan BN-PN tidak memerlukan masa lama untuk kembali menguasai Putrajaya selepas pembentukan permuafakatan politik yang diusahakan di Melaka.

“Putrajaya ini saya ingat tidak lama lagi. Bagi saya, saya rasa tidak lama lagi.

“Selepas habis pilihan raya 14 hari bulan, saya harap semua orang jangan buang-buang bendera. Cabut dan simpan elok-elok kerana nak beli sekali lagi tidak ada masa pun, modal pun kurang,” katanya berucap semasa melawat Bilik Gerakan PN DUN Bemban di sini hari ini.