PETALING JAYA: Sambutan Deepavali yang diraikan masyarakat beragama Hindu bukan sekadar pesta cahaya, sebaliknya membawa mesej kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan menundukkan keburukan serta ilmu membebaskan manusia daripada kejahilan dan keangkuhan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sambutan itu juga mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan nilai saling menghormati, memahami dan menerima perbezaan dalam sebuah negara yang berteraskan kepelbagaian budaya serta tradisi.

Katanya, nilai berkenaan perlu terus diperkukuh bagi memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini sentiasa terpelihara.

“Jadikan sambutan ini sebagai wadah mempereratkan perpaduan, merapatkan jurang antara kaum serta menyemai nilai ihsan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan,” katanya menerusi perutusan sempena sambutan Deepavali.