Pensijilan halal Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara, namun ia mungkin tidak akan tercapai selagi sebahagian besar penggiat industri masih melihatnya sebagai pilihan, bukan keperluan strategik untuk mengembangkan perniagaan.

Ini mungkin menjadi faktor mengapa bilangan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) masih kecil berbanding lebih 400,000 syarikat berdaftar wujud ketika ini seperti didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Namun, hakikat tidak boleh dinafikan pensijilan halal sebenarnya mampu memperluas pasaran, meningkatkan keyakinan pengguna dan menjadikan produk tempatan lebih berdaya saing pada peringkat antarabangsa.