PETALING JAYA – Isu melibatkan status halal makanan tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkait rapat dengan tuntutan agama, amanah serta tanggungjawab terhadap pengguna Muslim.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau menerima banyak pertanyaan berhubung isu tular penyembelihan ayam oleh warga asing yang didakwa tidak mematuhi kaedah ditetapkan syarak.

Menurut beliau, kebimbangan sama turut timbul susulan laporan mengenai kemasukan daging ayam sejuk beku melalui pintu sempadan yang menimbulkan keraguan terhadap status halalnya.