Wanita PKR membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Eric See-To atau Lim Sian See berhubung hantaran yang didakwa mempersendakan ungkapan berkaitan ayat suci al-Quran.

Exco Wanita PKR Farahida Fauzi berkata laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada kira-kira 12 tengah hari tadi supaya siasatan sewajarnya dilakukan.

“Pihak berkuasa diminta menjalankan siasatan dengan segera, telus dan tanpa pilih kasih. Sekiranya terbukti berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan tegas hendaklah diambil tanpa berlengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Farahida yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR Pahang turut mengingatkan masyarakat agar tidak mempermainkan agama bagi meraih perhatian, mencetuskan provokasi atau mengejar populariti.