Kuala Lumpur: Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hari ini memulakan operasi percubaannya, sekali gus menandakan fasa terakhir kesediaan operasi bagi perkhidmatan penumpang komersial, yang disasarkan bermula pada 12 Disember 2026.

Program tersebut dikendalikan oleh ECRL Operation Sdn Bhd, iaitu sebuah entiti usaha sama 50:50 antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Sdn Bhd, yang bertanggungjawab mengendalikan operasi dan penyelenggaraan rangkaian rel ECRL.

"Program operasi percubaan itu akan menilai kesediaan operasi, kecekapan perkhidmatan, pengurusan stesen dan pengalaman penumpang dalam persekitaran operasi sebenar.

"Operasi percubaan yang bermula dari 7 November hingga 2 Disember itu, akan melibatkan perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu dan sebaliknya, serta menyediakan perkhidmatan ekspres dan transit," menurut MRL dalam satu kenyataan hari ini.