KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Selangor dan Perak terus memburuk apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 4,504 orang petang ini berbanding 1,404 orang pagi tadi.
Di Selangor, jumlah mangsa banjir menunjukkan peningkatan dengan 4,234 mangsa daripada 251 keluarga ditempatkan di tujuh PPS berbanding 1,206 mangsa daripada 316 keluarga di sembilan PPS, pagi tadi.
Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat PPS masih beroperasi di Kuala Selangor iaitu Sekolah Agama Batu Lapan Ijok yang menempatkan 2,999 mangsa daripada 67 keluarga, Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang (799 mangsa, 61 keluarga), SK Dato’ Maharaja Lela (192 mangsa, 61 keluarga) dan SK Jaya Setia (71 mangsa, 21 keluarga).










