BUTTERWORTH: Empat individu cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 134.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), berhampiran sebuah pasar raya di Seberang Jaya, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, kemalangan membabitkan dua Perodua Myvi, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan sebuah Honda Accord dengan tujuh individu berada dalam semua kenderaan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.35 petang sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai digerakkan ke lokasi.









