ISTANBUL: Tiada keperluan untuk Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar diarahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi menjelaskan isu perundangan berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntuk kuasa pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan dilaksanakan menerusi Lembaga Pengampunan, termasuk kuasa memberi pengampunan, mengurang atau meringankan hukuman.
Beliau berkata, perkara itu lebih jelas susulan kenyataan Istana Negara yang mengulangi titah Yang di-Pertuan Agong supaya keputusan Lembaga Pengampunan berhubung tahanan rumah Najib dilaksanakan serta-merta.









