Sungai Petani: Pesara polis dan isterinya maut dalam kemalangan di Kilometer 114.4 Lebuhraya Utara Selatan, kawasan Tikam Batu menghala ke utara membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Suhaimi Saidin, 64, dan isterinya, Normah Hashim, 60, dari Taman Bandar Utama, Sungai Lalang, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata,pihaknya menerima maklumat daripada kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berhubung kemalangan itu pada jam 12 tengah hari.
Beliau berkata, siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan berlaku membabitkan sebuah kereta Perodua Bezza yang dinaiki suami isteri berusia 36 dan 41 tahun, dengan sebuah motosikal jenis XDV180 EVO yang dinaiki dua remaja berusia 15 dan 18 tahun.









