MALAYSIA TIDAK MAHU JADI "BIDAK CATUR" KUASA BESAR DALAM PEMBANGUNAN 5G - FAHMI

DOHA, 7 Nov (Bernama) – Malaysia tidak akan membiarkan negara menjadi "bidak catur" mana-mana kuasa besar dalam persaingan geopolitik telekomunikasi global, sebaliknya kekal dengan pendirian berkecuali bagi memastikan pembangunan infrastruktur digital negara tidak dipengaruhi kepentingan pihak tertentu.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pendirian itu menjadi asas kepada keputusan kerajaan melaksanakan peralihan daripada model rangkaian borong tunggal kepada dwirangkaian 5G, sekali gus memastikan keseimbangan dalam penggunaan teknologi dan penyedia peralatan telekomunikasi.

Beliau berkata keputusan berkenaan bukanlah suatu yang mudah kerana Malaysia perlu mengemudi pelbagai kepentingan geopolitik termasuk pandangan berbeza daripada wakil diplomatik negara asing.