KUALA LUMPUR: Penahanan seorang lelaki warga Hong Kong bersama kira-kira satu kilogram kokain disembunyikan di dalam kasut di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas tiba dari Kuala Lumpur Rabu lepas dipercayai mempunyai kaitan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu berdasarkan modus operandi, jenis dadah serta destinasi penghantaran yang hampir sama, iaitu Hong Kong, Jepun dan Indonesia.

“Kami percaya sindiket ini telah ditumpaskan dengan penangkapan seorang ketua sindiket warga Hong Kong dan perekrut warga tempatan seperti diumumkan pada sidang media semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.