KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis Hong Kong selepas menyerbu dua unit kediaman di St Mary Residence, Jalan Tengah, di sini, kelmarin.

Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu membawa kepada penahanan 18 warga Taiwan terdiri daripada 17 lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 43 tahun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata serbuan dilakukan kira-kira pukul 6.36 petang hasil risikan berkaitan kegiatan pusat panggilan (calling centre) penipuan dalam talian.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas 69 telefon bimbit, lima komputer riba serta dua helai baju seragam polis Hong Kong.