Kuala Lumpur: Jadikan kediaman mewah di Seksyen U13, Shah Alam, sebagai pusat operasi sindiket judi dalam talian.

Kegiatan jenayah didalangi warga Indonesia itu bagaimanapun tumpas selepas digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hasil operasi khas, baru-baru ini.

Dalam serbuan dilancarkan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu, seramai lima warga Indonesia membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 23 hingga 41 tahun berjaya ditahan.

JIM berkata, siasatan awal mendapati premis kediaman mewah itu dipercayai digunakan sebagai pusat operasi untuk menguruskan transaksi tambah nilai serta akaun perjudian pelanggan.