SEREMBAN – Seorang anggota polis direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM3,000 daripada pasangan suami isteri sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan berhubung kes gaduh membabitkan ahli keluarga mereka.
Perintah reman sehingga 3 November ini dikeluarkan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan pada pukul 10 malam semalam di sebuah ibu pejabat polis di negeri ini.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah itu kelmarin ketika menyiasat kes membabitkan pasangan suami isteri di pejabatnya.










