Kuala Lumpur: Pengukuhan identiti digital dan kerjasama rentas sektor menjadi asas utama kepada kedaulatan serta pertahanan siber negara dalam mendepani ancaman digital yang semakin kompleks.
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, identiti digital berpaksikan elemen kebolehpercayaan penting bagi memastikan keselamatan ekosistem digital negara terus terpelihara.
"Ekosistem pengesahan fizikal dan digital harus saling melengkapi bagi menjamin kestabilan serta keselamatan prasarana digital negara.
"Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2025–2030 menuntut pembabitan menyeluruh daripada sektor awam, swasta mahupun komuniti. Peranan masyarakat umum turut menjadi penentu utama kejayaan pelaksanaan strategi berkenaan," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan persidangan keselamatan siber tahunan, rawSEC MiniCon 2026, di ibu negara, hari ini.









