KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoal tindakan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menghalangnya daripada memasuki pusat penamaan calon di Alor Gajah, Melaka pagi tadi.

Beliau berkata, sebelum ini semua pemimpin parti sudah dimaklumkan dalam taklimat SPR bahawa pas masuk akan dikeluarkan bagi membolehkan mereka mengiringi calon ke pusat penamaan calon.

"Semua pemimpin parti sudah dimaklumkan mereka dibenarkan memasuki kawasan pusat penamaan calon, tetapi tidak ke dewan tempat proses penamaan berlangsung, selain hanya boleh berehat di bawah khemah di perkarangan itu saja.

"Tiba-tiba pagi ini, saya tak dibenarkan masuk melepasi pintu pagar kompleks. Kalau tidak benarkan kami masuk, mengapa keluarkan pas (untuk kami)?" katanya seperti dilaporkan sebuah portal berita, hari ini.