KOTA KINABALU: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) segera menempatkan doktor tambahan dari Semenanjung bagi menangani masalah kekurangan pegawai perubatan yang kritikal di Hospital Ranau dan fasiliti kesihatan di negeri itu.
Pengerusinya, Dr Brandon Patrick Senagang berkata campur tangan dalam perkara itu amat diperlukan susulan laporan doktor bekerja untuk tempoh panjang tanpa rehat mencukupi yang mencetuskan kebimbangan serius terhadap kebajikan mereka dan kelangsungan perkhidmatan kesihatan.
"Laporan diterbitkan portal yang menggambarkan doktor bekerja selama 48 hingga 72 jam berturut-turut tanpa rehat yang cukup amat membimbangkan," katanya dalam kenyataan hari ini.








